Saturday, January 15, 2011

TBS terima RM366,160 zakat perniagaan Bernas


Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) hari ini menerima zakat perniagaan sebanyak RM366,160 daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) hasil keuntungan syarikat tersebut pada 2009.
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyaksikan penyerahan zakat perniagaan tersebut daripada wakil Bernas iaitu Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Azizan Ayob kepada Pengurus Besar TBS, Abang Mohd. Shibli Mohd. Nailie.
Pada majlis yang berlangsung di pejabat Ketua Menteri Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini, Bernas turut menyampaikan sumbangan kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim (Peryatim) Sarawak sebanyak RM20,000 dan masing-masing RM5,000 kepada Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri Menteri Sarawak serta Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Sarawak.
"Sumbangan ini merupakan tanggungjawab sosial korporat syarikat kepada komuniti dan salah satu usaha Bernas untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik," kata Azizan ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut.
Pada masa sama, Bernas turut menyumbangkan sejumlah RM50,000 kepada Unit Sukarelawan Pemuda Sarawak bagi membantu mangsa banjir di negeri ini.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Menteri Muda Hal Ehwal Islam Sarawak merangkap Pengerusi Peryatim, Datuk Daud Abdul Rahman; Pemangku Yang Dipertua Sabati, Puan Sri Empiang Jabu dan Pengerusi Perkim Cawangan Sarawak, Datin Hanifah Alsree Taib.
Sementara itu, Bernas diwakili Ketua Pegawai Kewangan, Ahmad Tramizi Mohamed Hariri; Pengurus Besar Kanan Sektor Perniagaan Malaysia Timur, Azhar Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif Beras Corporation Sdn Bhd (BCSB), Mohd. Kamaluddin Mohd. Effendie dan Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat Bernas, Sabrina Yon.

No comments:

Post a Comment