Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) bercadang melaksanakan skim bantuan wang pendahuluan kepada golongan wanita di negeri ini yang mengemukakan tuntutan nafkah di Mahkamah Syariah bagi kes-kes perceraian.
Pengerusinya, Datuk Daud Abdul Rahman berkata, langkah tersebut antara lain bertujuan membantu wanita yang tidak mempunyai pendapatan meneruskan kehidupan harian.
"Skim bantuan wang pendahuluan itu bukan diberikan kepada setiap wanita bercerai sebaliknya untuk mereka yang tiada punca pendapatan manakala bekas suami pula tidak dapat dikesan pihak berkuasa.
"Bekas suami perlu membayar balik wang pendahuluan ini apabila dikesan pihak berkuasa kerana ia dianggap sebagai pinjaman," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan TBS di sini hari ini.
Pada majlis itu, TBS mengagihkan dana zakat sebanyak RM88,969 kepada 57 orang penerima yang layak.
Ditanya mengenai jumlah wang pendahuluan itu, Daud berkata, ia akan ditentukan Hakim Mahkamah Syarie manakala dananya disediakan oleh TBS dan Kerajaan Persekutuan tanpa mengenakan sebarang faedah.
Bagaimanapun katanya, jika bekas suami gagal dikesan bagi tempoh yang panjang, bantuan wang pendahuluan secara bulanan itu akan terus disalurkan kerana kebajikan wanita yang tidak mempunyai pendapatan perlu diutamakan.
Mengenai kutipan zakat di Sarawak, Daud yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) berkata, pihaknya mensasarkan kutipan pada tahun ini meningkat kepada RM60 juta.
Katanya, TBS yakin sasaran itu boleh dicapai berdasarkan prestasi kutipan zakat pada tahun lalu yang mencecah RM59 juta.
"Sasaran tersebut adalah munasabah dan mampu dicapai meskipun jumlah masyarakat Islam di Sarawak tidak begitu ramai.
"Bagaimanapun, jika kutipan zakat dapat melepasi sasaran, ia adalah sesuatu perkara yang begitu baik sekali," katanya.
Sementara itu, Daud berkata, TBS turut membuat kajian berhubung kesesuaian untuk melaksanakan kutipan zakat menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
Tegasnya, sebelum melaksanakan konsep baru itu, pihaknya perlu berbincang dengan Mufti Negeri terlebih dahulu untuk melihat mekanisme yang boleh digunapakai bagi melaksanakannya termasuk zakat fitrah.
Salam tuan mohon pautkan link. Terima kasih dan selamat berjuang menentang pertualang negara!!!
ReplyDelete