Wednesday, June 22, 2011

Tiada akaun di Bank Swiss

KUCHING: Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sedia memberi kerjasama penuh kepada Persekutuan Switzerland, jika dikehendaki berbuat demikian, berhubung dakwaan Tabung Bruno Manser (BMF) yang mengatakan beliau memiliki akaun bank di Switzerland.
Sambil menafikan sekeras-kerasnya beliau memiliki akaun sulit di Bank Swiss Taib ber-kata, kesediaan itu adalah untuk membersihkan namanya dan Kerajaan Negeri daripada isu rasuah serta salah guna kuasa.
“Saya tidak memiliki akaun sulit di Bank Swiss juga harta atau apa jua bentuk pelaburan. Tidak ada sama sekali,” katanya dalam pengumuman khas selepas sesi soal-jawab dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Menurutnya, beliau telah menulis surat kepada Presiden Switzerland, Micheline Calmy-Ray pada bulan lepas bagi mengesahkan sama ada mengarahkan siasatan Lembaga Penyelia Pasaran Kewangan Switzerland seperti didakwa BMF atau memberi salinan tuduhan untuk mendapatkan nasihat guaman.
Beliau yang menegaskan BMF mempunyai agenda politik menerusi dakwaan tersebut berkata, badan bukan kerajaan (NGO) tersebut memiliki rekod lampau dalam menuduh Kerajaan Negeri sejak beberapa tahun lepas.
Katanya antara lain, BMF menuduh Kerajaan Negeri telah menebang 90 peratus hutan di Sarawak meskipun pakar perhutanan tempatan dan antarabangsa mengesahkan 70 peratus hutan diuruskan dengan baik.
“Tuduhan BMF adalah salah dan tuduhan mengatakan saya memiliki harta di Switzerland merupakan kesinambungan usaha untuk mencemarkan imej Kerajaan Negeri, negeri dan para pemimpinnya,” ujarnya.
Taib berkata, dakwaan BMF juga digunakan oleh ahli politik tempatan untuk meraih sokongan orang ramai dalam usaha menentang beliau dan kerajaan negeri yang dipimpinnya.
“Sebagai ketua kerajaan negeri dan ahli badan perundangan, dalam mengekalkan amalan dan tradisi berparlimen, saya bertanggungjawab terhadap Dewan yang mulia ini.
“Justeru, adalah cara terbaik dan hak bagi saya untuk membuat kenyataan peribadi di Dewan yang mulia ini sejajar dengan Perintah Tetap 22 berhubung dakwaan BMF, sebuah NGO asing yang tidak bertanggungjawab terhadap rakyat Sarawak,” katanya.
Kelmarin, Taib yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber berkata, beliau akan menjawab persoalan berhubung dakwaan rasuah hasil balak terhadapnya semalam.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 Jun mengesahkan pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan rasuah Ketua Menteri.
Pesuruhjaya Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata SPRM dalam proses mengumpul maklumat berikutan keputusan Agensi Antirasuah Switzerland untuk membekukan harta Taib baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment